Translate

Rabu, 3 Disember 2008

Pengalaman Dulu Tiba Lagi

Sebenarnya aku dah lama serik dengan banyak benda-benda yang remeh temeh. Tapi semua tu memang dah selalu terkena pada diri aku sendiri. Setakat ini aku memang agak dan memang sibuk sangat dengan projek yang aku reka sendiri. Tak nampak sangat hasilnya sebab ianya berlaku dengan perlahan-lahan. Tapi satu perkara yang membuatkan aku serik dengan semua ini dan hampir-hampir aku putus harapan adalah masalah kesihatan. Puncanya sebab jadual yang tidak tersusun dengan sempurna. Ini menyebabkan aku banyak kali hampir jatuh sakit dan mengalami peredaran sistem badan yang tidak sempurna. Hasilnya amat menakutkan aku. Yang lebih menakutkan adalah kerana jantung hampir tidak berfungsi dengan betul.

Aku ada kalanya bagaikan sudah hampir kepada kematian. Tapi bukan semudah itu aku menyerah kepada keadaan. Semangat aku perlu untuk melawan perasaan yang membuatkan aku hampir-hampir menempah maut semata-mata ingin merealisasikan impian aku sebagai seorang perekacipta. Siang malam aku pulun mengejarkan sesuatu hasil dan itu yang aku gelarkan usaha. Jadi atau tidak itu adalah ketentuan Allah. Biar Dia yang tentukan dan aku hanya perlu usaha dan berdoa. Bukannya merungut atau menghitung nasib. Bukannya nasib aku sekarang ini baik atau pun mewah tetapi aku berserah dan aku pula asyik berusaha untuk kejayaan dan kepuasan. Keadaan sekeliling banyak sekali membuatkan aku rasa tidak selesa dan tekanan yang sangat mendesak. Aku hanya berserah dan disamping itu aku berusaha. Bukannya berdiam diri. Allah berikan masa 24 jam siang dan malam. Pandai-pandailah aku mengaturkan masa dan selalunya dipenuhi dengan perancangan. Namun tidak semua perancangan manusia akan berakhir dengan satu hasil yang baik. Yang buruk itulah akan dijadikan peringatan.

Sebelum ini dalam beberapa minggu dan hampir kepada bulan, tidur tidak menentu. Hampir selalu tidur lewat malam atau lewat pagi. Aku juga perlu ingat bahawa aku adalah manusia biasa. Maksud aku, aku perlu rehat yang cukup untuk hidup dan melakukan kerja setiap hari. Apa yang aku tahu tidur yang cukup adalah dalam anggaran 6 hingga 8 jam untuk seorang manusia seperti aku dan kita semua. Tapi aku tidur hanya 4 jam setiap hari. Hanya mengejarkan usaha yang aku sendiri tidak pasti bilakah akan tibanya kejayaan. Sorry... aku tidak pernah merungut dan bertanyakan bilakah kejayaan bagi aku. Sebab aku tahu kejayaan akan menjadi milik aku juga tapi tidak tahu bilanya. Biarlah Allah yang tentukan dan aku cuba merancang untuk berjaya secepat mungkin. Mungkin hari ini atau selewat-lewatnya esok pagi.

Disebabkan selalu tidur lewat dan kurangnya tidur, pergerakkan jantung aku tidak menentu. Adakalanya kencang dan ada masanya seperti sudah terhenti. Tubuh badan aku tidak stabil lagi. Nadi aku rasakan memang tidak menentu. Sekejap laju sekejap berhenti. Aku sudah mula panik. Apa dalam fikiran aku adalah perjalanan aku ke alam kubur. Dahi aku sudah mula berpeluh. Beberapa anggota badan aku sudah ada yang kebas kerana tiada darah mengalir lagi kerana jantung aku sudah lemah. Aku hampir rebah dan kali ini aku sudah fikir inilah harinya pengakhiran hidup aku. Aku akan tinggalkan orang yang aku sayangi dan segala-galanya. Aku rebah dan terduduk di atas tangga. Pada ketika itu aku sedang mendukung anak kecil aku yang turut sama rebah. Kemudian aku tersentap. Sentapan itu membuatkan aku terfikir sekali lagi. Dikala aku hampir-hampir tidak sedarkan diri, satu bisikan membisik ke telinga aku dan menyuruh aku bangun. Bangun! Bangun! Bangun!

Bisikan tersebut memberikan kata-kata semangat untuk tidak mudah jatuh dan rebah. Aku bangun selepas itu dan cuba sedaya-upaya aku. Walaupun jantung aku lemah dan badan aku benar-benar kebas, tapi aku bersemangat untuk bangun kerana bisikan tersebut. Benar! Aku bangun dan melompat seperti ingin keluar dari perasaan untuk jatuh tadi. Kini aku berdiri dan bergerak ke sana dan ke sini kerana diracun oleh bisikan tadi. Aku bersemangat. Aku tidak fikir lagi untuk menyerah kepada kematian. Aku tidak boleh mengalah begitu sahaja. Bukan semudah itu dan bukan begitu caranya untuk aku mati tanpa aku berbuat apa-apa yang boleh memberikan sumbangan kepada semua. Akhirnya aku tegap berdiri. Walaupun sebenarnya degupan jantung aku tidak sekata lagi.

Selepas kejadian yang memberikan kesan dalam hidup aku buat kali kedua ini, aku tidak lagi tidur lewat malam kecuali bangun tengah malam untuk solat malam sahaja. Jika ada kerja yang masih belum selesai, aku akan sambung untuk keesokkan harinya. Biarlah lewat siap kerja, asalkan kesihatan aku Allah jamin. Ada juga member aku yang selalu tidur lewat untuk buat kerja dan sebagainya tapi mereka akan tidur pada siangnya. Tidak seperti aku, pada siang hari memang aku tak akan tidur. Apa pun kalau aku tidur pada malam hari, aku tidur mati. Tidak boleh diganggu kerana jantung aku juga kan terganggu. Itulah hikmahnya Allah jadikan aku seperti itu dan berbeza dengan orang lain. Aku tidak pernah merungut dan mengeluh dengan ciptaanNya. Malah aku bersyukur.