Jumaat, 16 Ogos 2019

Prototaip Semua Idea

Assalamualaikum. Salam ceria. Salam bertemu lagi.

Perancangan pada ketika ini sebenarnya banyak yang perlu dilaksanakan.Kadangkala banyak perkara yang penting untuk dilakukan terlepas pandang dan menyebabkan ianya tidak dapat dilaksanakan sehingga berjaya. Ada sebabnya. Dan perkara ini sudah lama berlaku dalam beberapa tahun hampir sepuluh tahun. Puncanya adalah persekitaran.

 

Ramai yang tidak tahu saya struggle dengan masalah sakit yang menyebabkan saya sukar untuk mengawalnya. Ia menyebabkan gangguan kepada kerjaya saya sehingga sekarang. Namun begitu syukurlah saya masih mampu untuk meneruskan kehidupan dan juga masih aktif di dalam kerjaya saya sekarang. Apa yang saya lakukan untuk mengatasinya adalah semangat yang kuat mengekalkan pemikiran yang positif.

Kerana gangguan tersebut saya masih meneruskan aktiviti menghasilkan prototaip produk. Adakala gangguan tersebut datang dan kerja tersebut tergendala. Sampai satu masa yang stabil saya meneruskan kembali apa yang saya lakukan. Syukur sebab dua prototaip produk sudah pun selesai penghasilannya. Walaupun banyak kontroversi berlaku sehingga perkara negatif dan kecaman menimpa saya, akhirnya siap sepenuhnya dan selesai.


Bagaimana saya lalui semua ini? Modal saya adalah sabar, cuba bertahan dan sentiasa lakukan mengikut kemampuan. Apa yang datang kepada saya saya hadapi walaupun ianya baik atau tidak baik. Tidak perlu untuk saya bercerita dan memberi alasan masalah sakit yang saya hadapi. Cukup sekadar menyatakan maaf saja dan senyum.


Ada beberapa produk prototaip yang masih belum saya siapkan di lab dan office. Insyaalah sampai masanya nanti semuakan akan siap. Saya akan cuba sedaya mungkin dan pada masa yang sama berusaha menghadapi gangguan pada diri saya sehingga jayanya. Selagi saya masih bernyawa selagi itulah saya cuba tidak akan berhenti.

p/s: lumrah orang berniaga pasti ada yang suka dan tidak suka.

Rabu, 17 April 2019

Gagal Merancang



Assalamualaikum. Salah ceria. Salam bersua kembali.

Sudah hampir ke pertengah tahun 2019. Banyak perancangan telah dibuat. Namun hasilnya masih kesamaran dan ada juga yang tidak kelihatan. Saya hanya tahu merancang. Selebihnya hanya tuhan yang Maha Mengetahui.

Bermula dari 2017 lagi beberapa perancangan rapi telah dibuat. Antaranya adalah teknologi tenaga solar. Kurang popular di Malaysia ini dan rata-rata ramai yang tidak faham cara penggunaan keseluruhan sistem tenaga solar ini. Dengan adanya kemudahan elektrik grid (tnb), keperluan tenaga solar mungkin tidak diperlukan. Belum ada keperluan dan belum ada masalah yang timbul berkenaan dengan keperluan elektrik.

Tambahan pula kos pemasangan sistem tenaga solar mungkin juga mahal. Walaupun kos pemasangan adalah sekali sahaja ramai yang memilih untuk membayar bil elektrik setiap bulan. Ini kerana bil elektrik masih lagi murah dan mampu untuk dibayar setiap bulan. Keperluan untuk menggunakan elektrik solar tidak diperlukan.

Tapi target saya sebenarnya bukanlah menyaingi elektrik grid. Sistem elektrik solar yang saya hasilkan banyak menumpukan kepada pengguna di sektor ladang, kebun dan pedalaman. Selain itu saya menghasilkan produk solar generator mudah alih untuk kegunaan mudah alih. Saya lebih tertumpu kepada pengguna seperti itu. Tidak melibatkan penggunaan elektrik grid seperti di rumah, pejabat atau kilang.

Ramai yang menganggap penggunaan elektrik solar adalah semudah yang mereka fikirkan. Contohnya sekeping solar panel 20 Watt boleh menghidupkan aircond sepanjang hari. Mereka akan berfikir begitu seolah-oleh ianya seperti mudah. Begitu juga mereka beranggapan solar panel yang bersaiz kecil boleh menghidupkan lampu  sebanyak lima biji selama 12 jam di waktu malam. Semua andaian tersebut menggambarkan ramai yang tidak faham sistem elektrik solar walaupun pada pengetahuan asas.

Disebabkan kekeliruan ini beberapa projek solar saya tidak dapat diteruskan atas sebab kekurangan modal dan kos harga yang mereka tidak boleh terima. Setelah diberi penjelasan maklumat yang sebenarnya barulah tahu akan kebenaran sistem elektrik solar yang sebenarnya terutama pada penggunaan dan kos pemasangan.

Disebabkan itulah saya sedaya upaya untuk menghasilkan produk elektrik solar yang murah dan mampu dipasang oleh semua orang. Walaupun bahan mentah terpaksa dibeli dari luar dan harga kos bahan mentah mungkin sukar untuk saya kawal. Apa yang boleh saya lakukan adalah menghasilkan sistem controller sendiri. Di mana sistem tersebut dapat menggunakan solar panel yang kecil sesuai untuk penggunaan besar. Manakala sistem lain seperti bateri simpanan cas elektrik juga perlu dibuat ubah suai dan penambah baikan. Seperti sedia maklum, bahan mentah seperti bateri adalah komponen yang paling mahal berbanding bahan lain seperti solar panel.

Namun rancangan saya untuk menghasilkan sistem solar saya sendiri mungkin ditangguhkan kerana tiada dana. Dana dan modal tersebut untuk menghasilkan sistem yang benar-benar boleh diguna secara efektif tetapi kos yang rendah berbanding sistem sedia ada dari luar.

Perancangan telah menemui kegagalan. Pemberi dana juga tidak berminat dengan projek ini dan mungkin menganggap tidak memberi pulangan yang besar. Namun begitu, saya tetap akan teruskan projek ini sementara berusaha mengumpul dana yang cukup untuk melaksanakan projek ini satu hari nanti. 

Saya pernah menerima satu pertanyaan mengenai produk solar charger yang harga RM250 sahaja. Fungsinya adalah untuk cas peranti USB dan menghidupkan alatan kecil yang guna port USB sahaja. Individu tersebut dari Sarawak dan menyatakan berminat untuk membeli produk solar saya ini. Kemudian dia menyatakan untuk letak solar tersebut di rumah untuk menghidupkan lampu, kipas dan tv dan boleh guna selama 12 jam. Dia beritahu saya anak-anak dia mahu sangat menonton tv kerana di rumah tiada bekalan elektrik. Dia hidup sederhana tetapi tiada keperluan elektrik di rumahnya. Dipendekkan cerita saya tidak menjual solar charger saya itu kepadanya. Anda boleh simpulkan sendiri.

Isnin, 12 November 2018

Bengkel Solar dan Pakej Pembelajaran

Assalamualaikum dan salah sejahtera.

Apa khabar anda semua? Sudah lama saya tak update artikel baru di sini. Saya banyak update pos di Instagram sekarang ini dan anda boleh follow IG saya melalui id @soraysolar dan @brokreatif.

Pada ketika ini saya banyak habiskan masa membuat RnD solar sistem. Antaranya saya membuat penambah baik pada portable solar kepada sistem terkini. Di dalam sistem tersebut bahagian yang paling utama adalah sistem bateri yang perlu upgrade.



Sistem bateri yang sebelum ini saya guna jenis Sealed Lead Acid yang mana ianya kurang kemampuannya daripada bateri jenis Lithium. Kini saya bertukar kepada bateri jenis Lithium yang mempunyai banyak kelebihan berbanding bateri sebelumnya.

Kemudiannya pada bahagian power inverter saya telah bertukar kepada yang lebih baik. Ini kerana ada banyak alasan sebab mengapa saya bertukar yang lebih baik dan tidak menggunakan power inverter sebelum ini. Itu nanti saya terangkan.

Ok baiklah. Sebenarnya saya berhasrat untuk mengadakan bengkel mini sistem tenaga solar untuk kegunaan harian. Saya akan memberi penerangan secara teori dan amali dalam bengkel tersebut mengenai sistem tenaga solar untuk skala kecil. Bermaksud skala kecil adalah untuk kegunaan persendirian di rumah atau untuk diri sendiri. Contoh seperti tenaga solar untuk hidupkan lampu luar rumah. Atau menghidupkan pam air semburan setiap hari dan bermacam lagi yang boleh dilakukan dengan menggunakan tenaga solar berkala kecil.

Kita selalu diiklankan dengan penggunaan tenaga solar secara besar-besaran. Ianya seperti ladang solar yang luas beberapa ekar atau hektar. Kos yang terlalu besar ini mungkin kita tidak mampu atau layaknya untuk syarikat yang bermodal besar.

Dalam bengkel tersebut saya akan terangkan, ajarkan dan bimbing sehingga anda mampu untuk membuat pemasangan tenaga solar sendiri di rumah. Mungkin anda boleh fikirkan untuk kegunaan apa yang boleh anda buat dengan sistem tenaga solar yang kos rendah ini. 



Saya sendiri mengambil masa yang agak lama untuk memahami dan membuat penelitian mengenai sistem tenaga solar ini. Rata-rata yang saya temui banyak pihak yang menerangkan mengenai tenaga solar ini kepada skala yang besar seperti pemasangan kepada sistem elektrik grid rumah. Ianya merbahaya kepada orang yang kurang memahami dan tiada pengetahuan mengenai voltan kuasa tinggi.

Apa yang saya ajarkan ianya selamat kepada semua orang. Selagi ianya tidak disalahguna kepada tujuan yang lain. Ianya selamat kerana tenaga elektrik yang dihasilkan daripada solar panel adalah kecil seperti kuasa bateri. Saya akan ajarkan cara yang betul tentang solar panel, penggunaan bateri yang sesuai, power inverter yang betul dan mitos tentang solar panel dan penggunaannya.

Sebenarnya ramai yang salah anggap mengenai tenaga solar ini. Terutama kepada yang tiada pengetahuan mengenai tenaga solar. Baca buku tidak cukup. Mencari maklumat di internet juga belum tentu betulnya. Apa yang saya ajarkan ini adalah dari apa yang telah saya lakukan dengan membuat pengujian dan mengalaminya sendiri.

Oleh itu tunggulah saat saya umumkan bengkel tenaga solar ini. Jangan lepaskan peluang ini kerana ianya yang pertama kali diadakan di Malaysia. Kenali saya dan fahami apa yang saya sampaikan. Semoga ianya memberi manfaat kepada semua. 




Rabu, 20 September 2017

Projek Untuk Malam Sambutan Merdeka

Assalamualaikum. Salam ceria.

Bismillah.

Antara aktiviti yang membuatkan saya ingat sehingga sekarang adalah aktiviti bersama-sama jiran tetangga. Apabila kita menyertai satu komuniti yang agak besar walaupun kecil, ianya memberikan satu pengalaman menarik. Saya sudah menyertai pelbagai komuniti dan grup-grup yang membawa kepada pengalaman aktiviti tersendiri.

Baru-baru ini di dalam komuniti kejiranan saya ada buat beberapa aktiviti. Antaranya adalah persiapan untuk sambutan hari kemerdekaan negara. Kami berkumpul dan berbincang mengenai aktiviti yang hendak diadakan nanti. Salah satunya adalah pemasangan banner untuk sambutan kemerdekaan. Menariknya adalah banner tersebut dihiasi dengan kerlipan LED yang mana bahagian tersebut sayalah orang bertanggungjawab untuk mengendalikannya.

Tahniah untuk semua!

Syukur Alhamdulillah, rakan-rakan jiran tetangga banyak yang membantu untuk menjayakan projek ini. Pada kali ini saya lebih menceritakan bahagian kerja-kerja saya iaitu proses penghasilan efek LED pada perkataan MERDEKA.

Di dalam meeting, cadangan diberikan untuk membuat efek LED pada perkataan MERDEKA. Majoriti setuju dengan cadangan tersebut walaupun bukan saya yang mencadangkannya. Bermula dari itu saya mula memikirkan bagaimana untuk memulakan proses pembuatan sistem LED ini.

Dahulunya saya banyak luangkan masa untuk menghasilkan projek-projek efek LED seperti running light, led kerlip-kerlip, fading LED, LED polis dan sebagainya. Semua ini dibuat dengan hanya menggunakan komponen elektronik semata-mata. Kini agak maju sikit, saya menggunakan teknologi Arduino. Bagi saya ianya mudah kerana efek pada LED itu membolehkan kita tentukan melodi apakah yang kita mahukan.

Proses pertama adalah menguji setiap huruf LEDnya benar-benar boleh menyala. Terlintas di fikiran sama ada menggunakan susunan LED satu persatu atau menggunakan LED strip sahaja. Untuk jimat masa, saya pilih LED strip. Ianya cepat dipasang dan mudah untuk dibentukkan. Tapi kekemasan tidak setanding LED yang disusun satu persatu.


Pengujian

Setelah selesai uji LED untuk setiap huruf, proses seterusnya memikirkan rentak apa yang hendak disusun bagi menjadikan LED pada setiap huruf berkelip dengan cantik. Setelah dapat rentak yang dikehendaki, saya memulakan kerja dengan menghasilkan program aturcara untuk diprogramkan di dalam IC microprosessor. Siap saja kerja programming, tiba masa untuk pengujian di atas project board.

Control Box
Hasil pengujian ditunjuk pada ahli komuniti untuk memastikan ianya dipersetujui dan dibenarkan untuk diguna. Kemudian, proses seterusnya adalah membina control box yang lebih kemas dan kalis air. Control box akan terdedah kepada panas dan hujan. Oleh itu casing perlu kalis air. Setelah siap pemasangan, ianya diuji sekali lagi. Pengujian sentiasa dibuat memandangkan ianya terdedah kepada panas dan hujan. Pengujian jangka masa beroperasi juga diambil kira. Tempoh 12 jam adalah waktu minima untuk sistem berfungsi. Sistem ini menggunakan tenaga dari bateri kereta iaitu 12v. Bateri itu pula dicas pada waktu siang dengan solar panel 18v dan kuasanya sama ada 5 watt atau 10 watt kerana itu sahaja stok yang saya ada pada ketika itu.

Tiba hari pemasangan banner. Semua yang terlibat turun dan membantu untuk kerja pemasangan LED pada perkataan MERDEKA. Dengan menggunakan LED strip, kerja pemasangan menjadi cepat walaupun ianya agak rumit ketika membentuk LED strip mengikut huruf-huruf yang ada. Sampai satu masa, kerja pemasangan telah pun siap. Masanya untuk diuji sebelum ianya dipasang pada lokasi.
Buat kerja sambil bergurau senda

Semasa membuat pengujian, berlaku kerosakan. Apabila bateri dipasang, LED menyala semua dan kemudian terus padam. Saya periksa semula dan didapati IC regulator terbakar dan sistem tidak berfungsi. Untuk elak kekecewaan pada hadiran yang hadir pada masa itu, saya telah by pass LED strip terus ke bateri. Hasilnya semua LED menyala dan para hadiran melihat sangat seronok.

Solar Panel
Pada malam tersebut banner berjaya dipasang dengan efek LED semua menyala dengan cantik. Pada esok harinya, saya menggantikan komponen yang rosak dengan yang baru. Kemudian pada malam berikutnya saya memasang sistem efek LED ini dan berhasil. Semua huruf MERDEKA berkelip mengikut rentak dengan jayanya.

Banner dibiarkan beroperasi selama hampir 3 minggu. LED efek pula  berfungsi dengan baik dan tidak berlaku kerosakan. Namun kadang kala LED berkelip-kelip separuh perkataan dan ada yang tidak berkelip langsung. Masalah tersebut sebenarnya kecil dan boleh diatasi. Puncanya adalah kerana tenaga dari bateri yang tidak cukup untuk sistem LED berfungsi sepenuhnya. Bateri yang tidak cukup cas disebabkan kerana solar panel tidak mampu untuk cas penuh bateri tersebut.

Seperti yang telah saya jelaskan awal-awal tadi. Adakah anda ingat dan faham? Saya telah terangkan mengenai solar panel awal cerita tadi. Stok yang saya ada, ada dua iaitu 5 watt dan 10 watt. Pada banner ini saya pasangkan yang jenis 5 watt sahaja. 5 watt solar panel masih boleh cas bateri tetapi perlu masa yang lama untuk dicas penuh dn cahaya matahari perlu lebih lama dalam keadaan terik.


Oleh itu solar panel 5 watt sebenarnya tidak cukup untuk cas bateri kereta dengan sempurna. Manakala solar panel 10 watt pula saya telah guna untuk sistem bilik lab saya. Jadi, saya tidak buka dan pasang pada banner tersebut.



Apa pun projek ini berjaya bagi saya. Semua ajk dan hadirin sangat berpuas hati dengan masing-masing punya tugasan dan menampakkan hasil. Projek ini juga merupakan salah satu usaha untuk pertandingan sambutan kemerdekaan anjuran Majlis Perbandaran.


Usaha kami ini juga salah satu cara untuk membantu Persatuan Taman (Induk) bagi memeriahkan lagi program dan jika ada rezeki InsyaAllah boleh menang anugerah, Insyaallah.

Jumaat, 15 September 2017

Pemasangan Solar Powered untuk guard house 2

Bismillah... Assalamualikum. Salam ceria.

Sambungan dari artikel yang pertama sebelum ini.

Apabila tiba hari pemasangan, saya dan beberapa petugas mula bergerak pada waktu pagi selepas bersarapan di gerai roti canai. Semua peralatan dibawa bersama-sama dengan barang pemasangan.  

Sampai di lokasi, semua alatan dan barang pemasangan dibawa turun ke tempat yang hendak dipasang. Antara barang yang dibawa adalah:

Solar Panel 150 watt
Solar regulator 30A
Bateri kereta 12 volt 60AH
Power Inverter 12vDC- 220vAC        

Barang-barang di atas ini merupakan barangan keperluan yang asas. Maksudnya jika barang-barang ini tiada maka projek ini tidak boleh dijalankan dengan sempurna. Contohnya seperti solar panel yang semestinya perlu ada kerana ianya barang yang wajib ada. Sebelum dibuat pemasangan ini, terlebih dahulu saya membuat pengiraan asas bagi menentukan keperluan yang betul untuk pondok kawalan ini. Mengikut permintaan, setiap unit pondok kawalan mesti ada seunit kipas angin, lampu di dalam pondok, spot light dan soket AC.                                                                                                                                                                                                                                                                                   Setelah dibuat pengiraan, saya memperolehi senarai keperluan seperti barangan di atas tadi. Solar panel 150 watt boleh menampung cas untuk satu hingga tiga unit bateri untuk seharian. Manakala bateri yang digunakan adalah seunit sahaja. Asalnya untuk pengujian dahulu. Jika berlaku masalah tidak cukup tenaga, barulah bateri baru ditambahkan saja. Untuk projek ini, saya dan sahabat telah putuskan untuk guna bateri kereta 12volt 60AH. Memandangkan kos bateri kereta adalah murah berbanding bateri khas untuk sistem tenaga solar. Secara teknikalnya penggunaan bateri kereta adalah kurang sesuai atas sebab spesifikasinya atau sifat asalnya.

Adalah sistem ini terdapat penggunaan voltan AC. Voltan AC adalah voltan yang biasa kita guna di rumah iaitu voltan 220v-240v. Penggunaan Power Inverter digunakan untuk menukarkan voltan dari 12vDC kepada 220vAC. Tujuan voltan ini ditukar adalah kerana alatan seperti lampu pondok, spot light dan kipas angin memerlukan voltan 220vAC untuk dihidupkan. Voltan 12v dari bateri tidak cukup untuk menghidupkan alatan tersebut.

Setelah semua alatan dipasang, tibalah masa untuk membuat pengujian. Pengujian pertama adalah menghidupkan lampu pondok, spot light dan kipas angin. Komponen utama adalah power inverter. Power inverter akan menukarkan voltan DCkepada AC untuk lampu-lampu dan kipas. Semua alatan diuji dengan baik. Semuanya berfungsi. Bermakna, power inverter berfungsi, bateri cukup cas dan semua penyambungan dalam keadaan baik.

Untuk menguji solar panel, ia memerlukan masa. Bateri yang digunakan memerlukan masa untuk dicas. Sifat bateri kereta memerlukan masa yang lama untuk cas dan amaun cas dari bateri akan keluar dengan cepat pula. Sesuailah penggunaannya untuk kenderaan. Namun saya masih memutuskan untuk menggunakan bateri kereta kerana atas faktor yang telah saya ceritakan tadi.

Permulaan pemasangan sistem ini agak rumit terutama ketika pemasangan solar panel. Kami memutuskan untuk guna steelband untuk mengikat solar panel di atas bumbung. Namun ianya nampak seperti kurang kemas sedikit berbanding dengan cara pemasangan tapak frame untuk solar panel diletakkan. Pemasangan frame memerlukan kerja tambahan. Ianya rumit tetapi kemas. Manakala kosnya agak mahal sikit.

Wayar dipasang dan ditarik dari solar panel sehingga ke kotak kawalan voltan yang berada di dalam pondok. Namun begitu, wayar yang digunakan adalah wayar AC dari solar panel sehingga ke kotak kawalan. Apa pun spec wayar tersebut sudah melepasi keperluan yang dikehendaki.

Semua alatan berfungsi dengan baik dan semuanya boleh berfungsi pada masa yang sama. Bermakna, unit power inverter tidak mempunyai apa-apa masalah setakat itu. Untuk pengetahuan semua, saya menggunakan power inverter berkuasa 200 watt sahaja. Itu sudah memadai mengikut keperluan pondok pengawal.

Namun begitu sedikit masalah mungkin berlaku kepada bateri yang digunakan. Keperluan 60AH bateri sebenarnya tidak mencukupi untuk menghidupkan semua alatan serentak pada waktu yang agak lama seperti 12 jam atau 24 jam. Sebenarnya saya sudah membuat pengiraan berdasarkan cara penggunaan kesemua alatan tersebut mengikut masa dan kekerapan penggunaan. Sekiranya pengawal keselamatan saja-saja untuk on tidak ikut keperluan, besar kemungkinan bateri akan habis cas dengan cepat. Mungkin pada waktu siang ianya masih boleh digunakan kerana atas bantuan dari solar panel. Solar panel akan cas bateri mengikut kadar cahaya matahari yang diterima.

Kaedah standart yang digunakan menjadikan bateri digunakan sepenuhnya dan solar panel hanya digunakan untuk mengecas bateri sahaja. Solar panel tidak berfungsi menghidupkan alatan elektrik secara terus. Ianya perlu melalui bateri yang telah dicas. Ini adalah sistem asas. Saya guna sistem ini untuk projek ini.

Bersambung....                                                                                    

Tiada lagi Laman Web rasmi

Bismillah... Assalamualaikum dan salam ceria.

Pertama tama sekali saya ingin mengucapkan rasa bersyukur ke atas hadrat Ilahi kerana memberi peluang untuk saya menerbitkan artikel ini. Sudah lama saya tidak menulis artikel di dalam blog. Bukan masalah masa atau tidak cukup waktu untuk menulis, tapi sebenarnya masalah lambat bertindak. Apabila lambatnya bertindak, maka lambatlah satu pekerjaan itu dilaksanakan. Dan akhirnya terbiar begitu saja.

Mengikut kepada tajuk di atas, ya! Memang benar sekali. Sebenarnya sudah lama saya tidak memiliki laman web seperti laman web myenique, dekonovasi dan sebagainya. Bermakna saya sudah tidak lagi menguruskan laman web tersebut walaupun semuanya adalah milik saya.

Sebagai penggantinya, saya lebih tertumpu sekarang kepada blog-blog yang sedia ada dan masih aktif. Jika tidak aktif, saya akan pastikan blog tersebut aktif semula. Jadi, tujuan artikel ini adalah sekadar untuk memaklumkan bahawa saya sudah tidak lagi menguruskan laman web laman web sebelum ini. Kini saya leih tertumpu kepada blog pula.

Insyaallah, pada saat ini saya kembali semula aktif sebagai blogger sepenuh masa. Banyak artikel yang akan saya hasilkan. Insyaallah.

Khamis, 14 September 2017

Pemasangan Solar Powered untuk Guard Post.

Assalamualaikum. Salam ceria. Salam bersua lagi.

Baru baru ini saya telah pun memulakan kerja pemasangan sistem tenaga solar untuk pondok pengawal keselamatan untuk syarikat perumahan di area ibu negara. Kerja kerja pemasangan ini dibuat dalam masa tidak sampai satu hari. Semua kerja hampir dilakukan oleh pekerja yang telah diberi upah untuk melakukannya.

Pada pemasangan pertama ini saya banyak membuat pemerhatian kepada cara pemasangan sistem ini. Walaupun sistem ini bukanlah baru tetapi cara pemasangan di pondok kecil ini memerlukan satu standard pemasangan. Ini sebagai kemudahan pada masa akan datang. Ianya bersaiz kecil tetapi perlu dilihat juga cara pemasangan yang betul dan kemas.

Selepas pemasangan selesai nanti, saya akan membuat pengujian untuk keseluruhan sistem. Selesai saja pemasangan, saya akan biarkan dalam tempoh minimum seminggu untuk melihat hasil dari pemasangan tersebut. Sistem berfungsi dengan baik tetapi faktor faktor lain perlu diambil kira. Antaranya adalah melihat ketahanan sistem simpanan atau bateri, keadaan solar panel, keadaan sistem power inverter dan kefungsian solar controller.

Satu lagi alat rekaan inovasi saya masih belum boleh digunakan lagi pada sistem ini. Sistem baru tersebut masih dalam pengujian ketahanan yang dipasang di premis saya.

Apa pun, saya akan membuat ulasan mengenai pemasangan sistem tenaga solar ini berikutan terdapat beberapa kelemahan dan cara pemasangan yang salah. Segala kesalahan dapat diatasi dengan memperbaiki semula cara dan kaedah pemasangan yang betul.

Saya akan huraikan satu persatu mengenai aktiviti pemasangan tersebut serta pemerhatian saya kepada hasilnya nanti.

Sabtu, 18 Februari 2017

Litar converter dan inverter

Bismillah...

Assalamualaikum. Salam ceria.

Adakah anda tahu akan litar inverter dan litar converter. Ok baik, kali ini saya sentuh bab agak advance sikit. Kepada yang baru mula belajar atau baru kenal komponen bab ini anda boleh baca dan ikuti. Jika anda sukar untuk faham itu tidak mengapa.

Ini adalah sambungan dari topik solar panel sebelum ini. Persoalannya bolehkah solar panel yang bersaiz kecil berupaya untuk cas bateri yang mempunyai nilai volt yang tinggi seperti 12 volt? Jawapan saya adalah boleh.

Bagaimana caranya? Dengan penambahan litar converter. Apakah litar converter dan inverter? Ada pelbagai versi jawapan. Saya akan terangkan dan anda boleh nilaikan sendiri.

Litar converter berfungsi menukar nilai voltan masuk kepada satu nilai tertentu pada keluaran. Contoh voltan masuk 5 volt, keluaran pula 10 volt. Contoh lain, voltan masuk 8 volt dan keluaran pula 4 volt. Voltan biasanya adalah DC atau arus terus.

Ada juga litar converter yang berfungsi menukarkan voltan positif kepada voltan negatif. Contoh voltan masuk +5v dan keluaran pula -5v. Ada sesetengah litar elektronik memerlukan kedua dua jenis voltan ini. Biasanya untuk litar audio dan op-amp.

Litar inverter pula lebih kepada penukaran voltan dc kepada ac. Contohnya voltan masuk adalah 12v dc, manakala keluaran pula adalah 240v ac.

Oleh sebabkan fungsi litar litar ini bersesuaian untuk meningkatkan nilai voltan, ianya sesuai digandingkan dengan solar panel yang kecil bagi memberi cas kepada bateri yang besar.

Topik Blog Lepak Santai

Headline Blog Lepak Santai