Translate

Isnin, 17 Ogos 2015

Sama Tapi Tak Serupa

Antara perkara yang membuatkan saya benar-benar rimas adalah apabila projek yang saya hasilkan tiba-tiba tidak menjadi. Bayangkanlah sudah lebih lima tahun mengadap projek yang sama dan hampir beratus-ratus kali ianya berfungsi dengan baik. Secara tiba-tiba pada satu hari, projek tersebut tidak berfungsi.

Apabila kita sudah faham akan kendalian dan selok belok sesuatu benda, pasti kita dapat tahu apakah puncanya masalah yang berlaku sekiranya ianya rosak. Sebelum ini pun pernah juga rosak dan tidak berfungsi, tapi dengan cepat sudah tahu di mana dan apa punca masalahnya. Dan perkara tersebut sentiasa berulang-ulang hampir setiap hari selama 5 tahun.

Jadi, apakah yang menyebabkan saya buntu baru-baru ini sehingga tidak tahu apakah punca masalah sebenarnya. Sehinggakan tidak tahu apakah cara lagi untuk menjejak masalah tersebut. Sedangkan sumber rujukan asal juga masih tidak dapat mengetahui puncanya. Tambahan pula hanya saya sahaja yang mengetahui kendalian projek tersebut.

Cerita sedikit mengenai komponen elektronik. Banyak komponen elektronik yang saya gunakan dari nilai yang asal sehinggalah kepada penukaran kepada fungsi yang sama. Itu keinginan saya. Jika membuat satu projek dan senarai komponen yang diberikan sukar diperolehi di kedai, pastinya saya akan membuat penukaran dan terus menguji keberkesanannya. Jika diberikan nilai perintang atau kapasitor, ianya tidak menjadi satu masalah yang rumit dan besar. Ini kerana ianya adalah dalam kategori komponen pasif. Paling tidak pun hanya guna kaedah tambah dan bahagi saja untuk mendapatkan nilainya yang dikehendaki. Jadinya, teori dan amali dilakukan serentak.

Namun, apabila masuk kepada komponen aktif seperti transistor dan IC, ianya agak rumit untuk melakukan pergantian nilai. Sebabnya, setiap komponen seperti transistor dan IC ada fungsinya tersendiri. Ianya bergantung juga kepada kendalian litar projek tersebut. Contohnya litar pengesan pergerakan boleh sewenang-wenang menukar kepada komponen yang lain asalkan fungsinya hampir sama seperti yang asal. Tetapi jika sebagai contoh litar projek radio frekuensi, bukan semudah litar tadi yang boleh sesuka hati untuk menukar nilai pergantian. Walaupun, ya walaupun nilai yang sama tetapi dibeli dari kedai yang berbeza atau stok keluaran yang berlainan (baca berulang kali).

Saya masih mengkaji dua permasalah komponen transistor ini. Jika ada pandangan boleh anjurkan kepada saya. Mungkin saya kurang arif dan belum sampai ketahap sebegini. Antara komponen yang menjadikan saya banyak masalah dan menyebabkan saya jatuh sakit menderita adalah komponen ini iaitu transistor JFET 2N3819 dan 2SK30A. Dua komponen yang berbeza kod tetapi sama sifat dalamannya. Tapi tahukah tuan-tuan? Jika kedua-dua transistor ini jika dibeli dari semua kedai elektronik dan kemudian diasingkan mengikut kedai-kedai yang dibeli tadi, tidak semuanya boleh digunakan dan tidak semua yang tidak berfungsi.

Sebagai contoh. Transistor 2SK30A. Jika dilihat di dalam diagram litar tertera 2SK30A. Kemudian kita mahu mencari transistor tersebut dan kita akan pergi ke kedai menjual komponen. Di kedai komponen tersebut, kita akan tunjukkan senarai komponen kepada penjual dan mencarilah komponen tersebut. Penjual akan memberikan komponen berpandukan kepada label yang tertulis dan tidak menghiraukan nombor atau marking selepas 2SK30A tersebut. Kemudian kita pergi ke kedai lain dan beli komponen yang sama juga. Penjual akan memberikan komponen sama seperti label marking yang kita berikan tadi dan tidak menghiraukan marking selepas 2SK30A tadi. Sama juga dengan kedai-kedai yang lain. Sebabnya kerana kita tidak menulis label transistor selengkapnya seperti 2SK30A Y atau 2SK30A GR 2F dan sebagainya. Bagi kita itu tidak penting kerana pada diagram litar tidak ditulis label transistor sepanjang itu.

Cara penyelesaian adalah dengan memeriksa data sheet komponen yang digunakan. Ada komponen menitik beratkan nilai dibelakang selepas label utama seperti 2SK20A dan nilai belakangnya adalah GR 2F. Setelah diperiksa dari data sheet, memang ada perbezaannya. Jadi memang akan berlaku masalah walaupun hakikatnya kita tidak ketahui fungsi tersebut. Tidak seperti litar projek yang biasa seperti litar projek pengesan cahaya. Litar tersebut menggunakan transistor BC547. Namun ianya universal. Boleh menggunakan transistor lain seperti BC548 atau BC546 atau BC337. Ini kerana fungsinya universal dan umum. Berlainan pula dengan transistor 2N3819. Terdapat dua saiz badan transistor tersebut. Bersaiz kecil dan bersaiz besar sedikit. Jika dipasang pada litar, transistor 2N3819 yang bersaiz kecil akan berfungsi berbanding dengan yang bersaiz besar sedikit. Peliknya, pada label tidak menyatakan label tambahan selepas 2N3819. Kedua-dua transistor menunjukkan label yang sama. Hanya saiz saja yang berbeza. Jika dilihat pada data sheet, tiada yang menerangkan saiz memberikan kesan yang berbeza. Sedangkan pekedai pun tidak mampu untuk menerangkan punca tersebut.

Oleh itu berwaspadalah. Sentiasa beringat akan perkara ini. Sesetengah pekedai akan pertahankan mengikut kefahaman mereka. Mereka akan katakan ianya boleh diguna untuk semua label yang tertera. Namun ada segelintir yang tahu dan faham Begitu juga sama seperti membeli kapasitor yang bernilai 0.1uF. Kemudian penjual akan memberikan kapasitor yang bernilai 100nF. Jika kita jahil, kita akan mengatakan ianya salah dan tidak mahu nilai yang diberikan. Bagi saya nilai seperti mikro dan nano tidak memberikan hal yang rumit. Pada saya jenis material kapasitor tulah yang mencerewetkan saya. Kapasitor ceramic dan jenis polyester walaupun sama nilai kapasitannya tetapi berbeza dari segi keupayaan fizikalnya. Jika dipasang kepada litar yang melibatkan frekuensi, ianya sangat mempengaruhi.

Ikuti kursus bengkel saya untuk lihat kesan daripada permasalahan ini. Sesuatu yang menarik melihat eksperimen saya secara langsung.