Translate

Jumaat, 21 Ogos 2015

Masih lagi takut

Jika diikutkan seperti dulu-dulu memang saya akan buat mengikut apa yang terlintas di dalam fikiran. Apa saja yang terlintas pasti ada saja kerja yang akan dilakukan. Sehinggakan pada masa itu orang akan katakan saya jenis orang yang kreatif. Persepsi orang lihat kita lakukan sesuatu yang terlalu kerap dan juga agak berlainan tidak sama seperti orang biasa-biasa. Mereka menganggap ianya kreatif.

Ada juga yang lain melihat kreativiti dari suduh pembuatan dan penghasilan sesuatu benda. Dahulunya saya kreatif berkarya. Dari menghasilkan satu-satu barang sehinggalah menjadi seorang pelukis. Pelukis potret, pelukis kartun, pelukis batik dan macam-macam lagi. Semuanya itu saya berada di dalam proses pembelajaran. Apabila minat, kita teringin untuk melakukan sesuatu. Bergantung kepada keinginan, hasil yang terjadi apabila sesuatu kerja dilakukan dilihat kepada seni rentak kerja yang dibuat. Jika hasilnya pelik dan mengagumkan, ia dipanggil kreatif. Tapi, jika pelik pun dan tidak berguna, ianya dipanggil sampah.

Sudah menjangkau 25 tahun pengalaman dalam rekacipta (dulu istilah inovasi belum ada lagi), kini saya mengalami pelbagai pengalaman. Namun tak bermakna banyaknya ilmu. Cuma aturan masa dan usia menjadikan banyak benda yang saya simpan. Tidak seperti dahulunya saya banyak menunjukkan hasilnya kepada umum. Terutama kepada orang yang rapat dan dekat dengan saya. Apabila rangkaian sosialnya semakin besar, terjadi pelbagai perkara atau hal. Perkara-perkara yang tidak seronok yang membuatkan terjadinya dinding pemisah antara saya dan hasil kreativiti saya terpaksa disorokkan dan dibekukan.

Pengalaman yang mengajar saya. Bukan saya pergi belajar dengan mana-mana orang pun. Oleh itu saya sentiasa beringat. Sebabnya dari pengalaman lampau saya telah diajar. Hasilnya kini, saya seperti insan biasa-biasa saja. Tidak seperti dahulu banyak menunjukkan sesuatu yang ohsem. Sesuatu yang orang ramai ternanti-nantikan apa yang terbaru akan muncul. Itu dahulu. Tapi sekarang tidak. Mungkin tidak atau mungkin juga belum sampai masanya nanti.

Jika ditanya kepada saya apakah puncanya. Jawapan saya adalah TAKUT. Ya, satu perkataan yang bersifat negatif. Ia umpama seperti satu kunci. Kunci yang membelenggu dari satu perkara yang sangat mahal harganya. Ianya umpama sukar dilepaskan. Namun jika ditanya lagi kepada saya apakah yang menjadikan saya takut? Jawapannya adalah dari pengalaman lampau menjadikan saya takut. Takut untuk tunjukkan sesuatu. Takut untuk menceritakan sesuatu yang agak istimewa. Akibatnya, saya akan dikritik dan orang ramai masih belum bersedia untuk menerima kenyataan dari sesuatu yang baru. Biarlah ianya istimewa sekali pun, tetapi ianya masih belum tentu akan diterima oleh pemikiran orang luar. Atau dipanggil gila.

Untuk itu, saya akan cuba sampaikan di setiap kursus atau bengkel atau kelas yang akan saya anjurkan tidak lama lagi. Dan bermula dari situ saya akan lakukan berterusan melalui penyampaian saya sehinggalah sesuatu perkara yang besar akan berlaku InsyaAllah. Tidak seperti kursus-kursus yang saya buat sebelum ini, kerana saya masih takut-takut untuk menyampaikan sesuatu yang baru itu. Apa pun saya cuba untuk sampaikan dan sebarkan. Tapi, jangan fikir pula saya nak sampaikan ajaran sesat pula. Tidak. Bukan ajaran sesat yang menyimpang agama tetapi sesuatu yang pernah saya buat dan saya perolehi dari eksperimen yang pernah saya lakukan. Saya bukan professor yang ada kelulusan tinggi untuk membuat eksperimen yang akan membuka mata orang luar. Malah jika saya hasilkan teori sendiri pun belum tentu orang akan terima, terutama sekali orang yang ada kelulusan akedemik yang tinggi. Cukuplah. Siapa yang akan percaya? MOSTI pun tidak boleh menerima idea dan teori saya WALAUPUN prototaip yang sudah siap berfungsi berada di depan mata. Saya hanya orang biasa saja. Cuma sangat berminat untuk melakukan kerja-kerja ujikaji tentang teknologi elektronik dan seumpamanya. Insyaallah, jika mood saya ok, saya akan sampaikan kepada yang bernasib baik.

Jadi, jika ramai yang mengetahui dan membaca artikel saya ini, pasti pelbagai persepsi akan timbul. Saya tidak pasti sama ada lebih banyak yang negatif atau pun positif. Apa pun dipersilakan untuk komen mengikut cara dan kreativiti anda. Namun sesuatu yang saya sangat suka adalah komenlah depan-depan saya. Maksudnya, datang sendiri jumpa saya dan komen di hadapan saya. Cara itu lebih memuaskan hati saya berbanding komen di media sos
ial.

Mungkin ramai yang tertanya juga status pendidikan saya sehinggakan layakkah untuk membuat kursus. Saya menyampaikan ilmu mengikut dan berpandukan pengalaman saya. Jadi, saya menyampaikan ilmu dari pengalaman saya. Bukan dari status pendidikan saya dan bukan mengikut silibus buku teks atau buku rujukan sekolah. Jika tidak, lebih baik anda masuk saja ke sekolah teknik, atau kolej vokasional atau mana-mana IPT atau kolej kemahiran. Semua itu mengikut standard pembelajaran. Saya pula mengikut standard pengalaman. Jadi, meman ada kelainan. Nak rasa kelanan? Join kursus saya.

Jom lawat www.myenique.com