Translate

Selasa, 29 April 2008

Semangat yang tak semangat

Memang agak sukar untuk kita menetapkan dan mengekalkan tahap semangat pada diri. Bila semangat meningkat dan meluap-luap, belum tentu ianya akan berada di tahap tersebut selama-lamanya. Bergantung kepada individu, jika lama maka lamalah ia bertahan, jika tidak maka jatuhlah ia ke tahap yang saya pun tak boleh nak agak.

Apabila kita sebut mengenai semangat ini, pelbagai perkara yang boleh kita fikirkan keadaan dan suasananya. Jika anda seorang ahli perniagaan, sudah tentu anda mempunyai semangat untuk melakukan aktiviti perniagaan anda sehingga memperolehi kejayaan. Jika anda seorang ahli kepada sesuatu bidang, sudah tentu anda bersemangat untuk menjadi pakar kepada bidang tersebut. Tetapi sejauh manakah kekuatan semangat itu?

Kenapa perlu kepada semangat? Semangat adalah penggerak kepada permulaan usaha untuk berjaya atau mencapai sesuatu yang diingini. Tanpa semangat kerja yang kita lakukan serba tak menjadi atau pun dilakukan sambil lewa atau pun berhenti terus. Jadi bagaimana untuk mengekalkan semangat pada diri? Sebelum kita berusaha untuk mengekalkan semangat, perkara pertama adalah menjana semangat.

Sebenarnya banyak cara untuk melahirkan semangat dalam diri. Semangat juga ada pelbagai bentuk dan rupa. Adalah lebih baik untuk kita mencari semangat yang sesuai. Beberapa kaedah yang boleh kita mencari dan menaikkan semangat adalah dengan cara berikut seperti pergi kursus motivasi, jumpa kaunselor, dengar tape motivasi, hadiri ceramah agama, baca buku motivasi atau agama, bergaul dengan orang yang berjaya, melihat kejayaan orang lain (jangan dengki pulak), melakukan kerja kebajikan, solat dan zikir, dan banyak lagi.

Lakukan mana yang mampu. Apabila anda sudah mendapat semangat, tugasan seterusnya adalah mengekalkan semangat tersebut atau pun tambah lagi kekuatan tersebut. Setelah anda berjaya mendapat semangat dan boleh mengekalkan semangat pada diri, seterusnya anda lakukan kerja yang anda ingin lakukan. Lakukan kerja dengan bijak.

Antara perkara yang memboleh semangat kita menjadi luntur adalah seperti usaha yang terlalu lama dan tidak menampakkan hasil, fitnah, kutukan melampau, tiada restu sesetengah pihak seperti ibu bapa, tidak mendapat sokongan, sakit, masalah kewangan dan sebagainya. Apa yang perlu adalah sentiasa bersemangat, walaupun semua faktor yang diterangkan tadi akan menimpa kita.

Salah satu cara untuk mengekalkan semangat adalah sentiasa ingat kepada mati. Ketahuilah bahawa, apakah yang paling dekat dengan kita. Jawapannya bukan isteri kita, bukan suami kita, bukan awek kita, bukan ibu bapa kita, bukan anak kita, bukan member kita. Walaupun semua jawapan tersebut adalah betul tetapi yang paling dekat dengan kita adalah mati. Dengan ingat mati, Insyaallah kita akan sentiasa beringat, tidak melakukan dosa, selalu beribadat ingatkan Allah dan yang panting kita bersemangat sebab kita bersedia. Oleh itu untuk buat sesuatu kerja sudah tentu tidak menjadi masalah kerana anda sememangnya bersemangat. Wallahualam...