Translate

Rabu, 20 September 2017

Projek Untuk Malam Sambutan Merdeka

Assalamualaikum. Salam ceria.

Bismillah.

Antara aktiviti yang membuatkan saya ingat sehingga sekarang adalah aktiviti bersama-sama jiran tetangga. Apabila kita menyertai satu komuniti yang agak besar walaupun kecil, ianya memberikan satu pengalaman menarik. Saya sudah menyertai pelbagai komuniti dan grup-grup yang membawa kepada pengalaman aktiviti tersendiri.

Baru-baru ini di dalam komuniti kejiranan saya ada buat beberapa aktiviti. Antaranya adalah persiapan untuk sambutan hari kemerdekaan negara. Kami berkumpul dan berbincang mengenai aktiviti yang hendak diadakan nanti. Salah satunya adalah pemasangan banner untuk sambutan kemerdekaan. Menariknya adalah banner tersebut dihiasi dengan kerlipan LED yang mana bahagian tersebut sayalah orang bertanggungjawab untuk mengendalikannya.

Tahniah untuk semua!

Syukur Alhamdulillah, rakan-rakan jiran tetangga banyak yang membantu untuk menjayakan projek ini. Pada kali ini saya lebih menceritakan bahagian kerja-kerja saya iaitu proses penghasilan efek LED pada perkataan MERDEKA.

Di dalam meeting, cadangan diberikan untuk membuat efek LED pada perkataan MERDEKA. Majoriti setuju dengan cadangan tersebut walaupun bukan saya yang mencadangkannya. Bermula dari itu saya mula memikirkan bagaimana untuk memulakan proses pembuatan sistem LED ini.

Dahulunya saya banyak luangkan masa untuk menghasilkan projek-projek efek LED seperti running light, led kerlip-kerlip, fading LED, LED polis dan sebagainya. Semua ini dibuat dengan hanya menggunakan komponen elektronik semata-mata. Kini agak maju sikit, saya menggunakan teknologi Arduino. Bagi saya ianya mudah kerana efek pada LED itu membolehkan kita tentukan melodi apakah yang kita mahukan.

Proses pertama adalah menguji setiap huruf LEDnya benar-benar boleh menyala. Terlintas di fikiran sama ada menggunakan susunan LED satu persatu atau menggunakan LED strip sahaja. Untuk jimat masa, saya pilih LED strip. Ianya cepat dipasang dan mudah untuk dibentukkan. Tapi kekemasan tidak setanding LED yang disusun satu persatu.


Pengujian

Setelah selesai uji LED untuk setiap huruf, proses seterusnya memikirkan rentak apa yang hendak disusun bagi menjadikan LED pada setiap huruf berkelip dengan cantik. Setelah dapat rentak yang dikehendaki, saya memulakan kerja dengan menghasilkan program aturcara untuk diprogramkan di dalam IC microprosessor. Siap saja kerja programming, tiba masa untuk pengujian di atas project board.

Control Box
Hasil pengujian ditunjuk pada ahli komuniti untuk memastikan ianya dipersetujui dan dibenarkan untuk diguna. Kemudian, proses seterusnya adalah membina control box yang lebih kemas dan kalis air. Control box akan terdedah kepada panas dan hujan. Oleh itu casing perlu kalis air. Setelah siap pemasangan, ianya diuji sekali lagi. Pengujian sentiasa dibuat memandangkan ianya terdedah kepada panas dan hujan. Pengujian jangka masa beroperasi juga diambil kira. Tempoh 12 jam adalah waktu minima untuk sistem berfungsi. Sistem ini menggunakan tenaga dari bateri kereta iaitu 12v. Bateri itu pula dicas pada waktu siang dengan solar panel 18v dan kuasanya sama ada 5 watt atau 10 watt kerana itu sahaja stok yang saya ada pada ketika itu.

Tiba hari pemasangan banner. Semua yang terlibat turun dan membantu untuk kerja pemasangan LED pada perkataan MERDEKA. Dengan menggunakan LED strip, kerja pemasangan menjadi cepat walaupun ianya agak rumit ketika membentuk LED strip mengikut huruf-huruf yang ada. Sampai satu masa, kerja pemasangan telah pun siap. Masanya untuk diuji sebelum ianya dipasang pada lokasi.
Buat kerja sambil bergurau senda

Semasa membuat pengujian, berlaku kerosakan. Apabila bateri dipasang, LED menyala semua dan kemudian terus padam. Saya periksa semula dan didapati IC regulator terbakar dan sistem tidak berfungsi. Untuk elak kekecewaan pada hadiran yang hadir pada masa itu, saya telah by pass LED strip terus ke bateri. Hasilnya semua LED menyala dan para hadiran melihat sangat seronok.

Solar Panel
Pada malam tersebut banner berjaya dipasang dengan efek LED semua menyala dengan cantik. Pada esok harinya, saya menggantikan komponen yang rosak dengan yang baru. Kemudian pada malam berikutnya saya memasang sistem efek LED ini dan berhasil. Semua huruf MERDEKA berkelip mengikut rentak dengan jayanya.

Banner dibiarkan beroperasi selama hampir 3 minggu. LED efek pula  berfungsi dengan baik dan tidak berlaku kerosakan. Namun kadang kala LED berkelip-kelip separuh perkataan dan ada yang tidak berkelip langsung. Masalah tersebut sebenarnya kecil dan boleh diatasi. Puncanya adalah kerana tenaga dari bateri yang tidak cukup untuk sistem LED berfungsi sepenuhnya. Bateri yang tidak cukup cas disebabkan kerana solar panel tidak mampu untuk cas penuh bateri tersebut.

Seperti yang telah saya jelaskan awal-awal tadi. Adakah anda ingat dan faham? Saya telah terangkan mengenai solar panel awal cerita tadi. Stok yang saya ada, ada dua iaitu 5 watt dan 10 watt. Pada banner ini saya pasangkan yang jenis 5 watt sahaja. 5 watt solar panel masih boleh cas bateri tetapi perlu masa yang lama untuk dicas penuh dn cahaya matahari perlu lebih lama dalam keadaan terik.


Oleh itu solar panel 5 watt sebenarnya tidak cukup untuk cas bateri kereta dengan sempurna. Manakala solar panel 10 watt pula saya telah guna untuk sistem bilik lab saya. Jadi, saya tidak buka dan pasang pada banner tersebut.



Apa pun projek ini berjaya bagi saya. Semua ajk dan hadirin sangat berpuas hati dengan masing-masing punya tugasan dan menampakkan hasil. Projek ini juga merupakan salah satu usaha untuk pertandingan sambutan kemerdekaan anjuran Majlis Perbandaran.


Usaha kami ini juga salah satu cara untuk membantu Persatuan Taman (Induk) bagi memeriahkan lagi program dan jika ada rezeki InsyaAllah boleh menang anugerah, Insyaallah.

Jumaat, 15 September 2017

Pemasangan Solar Powered untuk guard house 2

Bismillah... Assalamualikum. Salam ceria.

Sambungan dari artikel yang pertama sebelum ini.

Apabila tiba hari pemasangan, saya dan beberapa petugas mula bergerak pada waktu pagi selepas bersarapan di gerai roti canai. Semua peralatan dibawa bersama-sama dengan barang pemasangan.  

Sampai di lokasi, semua alatan dan barang pemasangan dibawa turun ke tempat yang hendak dipasang. Antara barang yang dibawa adalah:

Solar Panel 150 watt
Solar regulator 30A
Bateri kereta 12 volt 60AH
Power Inverter 12vDC- 220vAC        

Barang-barang di atas ini merupakan barangan keperluan yang asas. Maksudnya jika barang-barang ini tiada maka projek ini tidak boleh dijalankan dengan sempurna. Contohnya seperti solar panel yang semestinya perlu ada kerana ianya barang yang wajib ada. Sebelum dibuat pemasangan ini, terlebih dahulu saya membuat pengiraan asas bagi menentukan keperluan yang betul untuk pondok kawalan ini. Mengikut permintaan, setiap unit pondok kawalan mesti ada seunit kipas angin, lampu di dalam pondok, spot light dan soket AC.                                                                                                                                                                                                                                                                                   Setelah dibuat pengiraan, saya memperolehi senarai keperluan seperti barangan di atas tadi. Solar panel 150 watt boleh menampung cas untuk satu hingga tiga unit bateri untuk seharian. Manakala bateri yang digunakan adalah seunit sahaja. Asalnya untuk pengujian dahulu. Jika berlaku masalah tidak cukup tenaga, barulah bateri baru ditambahkan saja. Untuk projek ini, saya dan sahabat telah putuskan untuk guna bateri kereta 12volt 60AH. Memandangkan kos bateri kereta adalah murah berbanding bateri khas untuk sistem tenaga solar. Secara teknikalnya penggunaan bateri kereta adalah kurang sesuai atas sebab spesifikasinya atau sifat asalnya.

Adalah sistem ini terdapat penggunaan voltan AC. Voltan AC adalah voltan yang biasa kita guna di rumah iaitu voltan 220v-240v. Penggunaan Power Inverter digunakan untuk menukarkan voltan dari 12vDC kepada 220vAC. Tujuan voltan ini ditukar adalah kerana alatan seperti lampu pondok, spot light dan kipas angin memerlukan voltan 220vAC untuk dihidupkan. Voltan 12v dari bateri tidak cukup untuk menghidupkan alatan tersebut.

Setelah semua alatan dipasang, tibalah masa untuk membuat pengujian. Pengujian pertama adalah menghidupkan lampu pondok, spot light dan kipas angin. Komponen utama adalah power inverter. Power inverter akan menukarkan voltan DCkepada AC untuk lampu-lampu dan kipas. Semua alatan diuji dengan baik. Semuanya berfungsi. Bermakna, power inverter berfungsi, bateri cukup cas dan semua penyambungan dalam keadaan baik.

Untuk menguji solar panel, ia memerlukan masa. Bateri yang digunakan memerlukan masa untuk dicas. Sifat bateri kereta memerlukan masa yang lama untuk cas dan amaun cas dari bateri akan keluar dengan cepat pula. Sesuailah penggunaannya untuk kenderaan. Namun saya masih memutuskan untuk menggunakan bateri kereta kerana atas faktor yang telah saya ceritakan tadi.

Permulaan pemasangan sistem ini agak rumit terutama ketika pemasangan solar panel. Kami memutuskan untuk guna steelband untuk mengikat solar panel di atas bumbung. Namun ianya nampak seperti kurang kemas sedikit berbanding dengan cara pemasangan tapak frame untuk solar panel diletakkan. Pemasangan frame memerlukan kerja tambahan. Ianya rumit tetapi kemas. Manakala kosnya agak mahal sikit.

Wayar dipasang dan ditarik dari solar panel sehingga ke kotak kawalan voltan yang berada di dalam pondok. Namun begitu, wayar yang digunakan adalah wayar AC dari solar panel sehingga ke kotak kawalan. Apa pun spec wayar tersebut sudah melepasi keperluan yang dikehendaki.

Semua alatan berfungsi dengan baik dan semuanya boleh berfungsi pada masa yang sama. Bermakna, unit power inverter tidak mempunyai apa-apa masalah setakat itu. Untuk pengetahuan semua, saya menggunakan power inverter berkuasa 200 watt sahaja. Itu sudah memadai mengikut keperluan pondok pengawal.

Namun begitu sedikit masalah mungkin berlaku kepada bateri yang digunakan. Keperluan 60AH bateri sebenarnya tidak mencukupi untuk menghidupkan semua alatan serentak pada waktu yang agak lama seperti 12 jam atau 24 jam. Sebenarnya saya sudah membuat pengiraan berdasarkan cara penggunaan kesemua alatan tersebut mengikut masa dan kekerapan penggunaan. Sekiranya pengawal keselamatan saja-saja untuk on tidak ikut keperluan, besar kemungkinan bateri akan habis cas dengan cepat. Mungkin pada waktu siang ianya masih boleh digunakan kerana atas bantuan dari solar panel. Solar panel akan cas bateri mengikut kadar cahaya matahari yang diterima.

Kaedah standart yang digunakan menjadikan bateri digunakan sepenuhnya dan solar panel hanya digunakan untuk mengecas bateri sahaja. Solar panel tidak berfungsi menghidupkan alatan elektrik secara terus. Ianya perlu melalui bateri yang telah dicas. Ini adalah sistem asas. Saya guna sistem ini untuk projek ini.

Bersambung....                                                                                    

Tiada lagi Laman Web rasmi

Bismillah... Assalamualaikum dan salam ceria.

Pertama tama sekali saya ingin mengucapkan rasa bersyukur ke atas hadrat Ilahi kerana memberi peluang untuk saya menerbitkan artikel ini. Sudah lama saya tidak menulis artikel di dalam blog. Bukan masalah masa atau tidak cukup waktu untuk menulis, tapi sebenarnya masalah lambat bertindak. Apabila lambatnya bertindak, maka lambatlah satu pekerjaan itu dilaksanakan. Dan akhirnya terbiar begitu saja.

Mengikut kepada tajuk di atas, ya! Memang benar sekali. Sebenarnya sudah lama saya tidak memiliki laman web seperti laman web myenique, dekonovasi dan sebagainya. Bermakna saya sudah tidak lagi menguruskan laman web tersebut walaupun semuanya adalah milik saya.

Sebagai penggantinya, saya lebih tertumpu sekarang kepada blog-blog yang sedia ada dan masih aktif. Jika tidak aktif, saya akan pastikan blog tersebut aktif semula. Jadi, tujuan artikel ini adalah sekadar untuk memaklumkan bahawa saya sudah tidak lagi menguruskan laman web laman web sebelum ini. Kini saya leih tertumpu kepada blog pula.

Insyaallah, pada saat ini saya kembali semula aktif sebagai blogger sepenuh masa. Banyak artikel yang akan saya hasilkan. Insyaallah.

Khamis, 14 September 2017

Pemasangan Solar Powered untuk Guard Post.

Assalamualaikum. Salam ceria. Salam bersua lagi.

Baru baru ini saya telah pun memulakan kerja pemasangan sistem tenaga solar untuk pondok pengawal keselamatan untuk syarikat perumahan di area ibu negara. Kerja kerja pemasangan ini dibuat dalam masa tidak sampai satu hari. Semua kerja hampir dilakukan oleh pekerja yang telah diberi upah untuk melakukannya.

Pada pemasangan pertama ini saya banyak membuat pemerhatian kepada cara pemasangan sistem ini. Walaupun sistem ini bukanlah baru tetapi cara pemasangan di pondok kecil ini memerlukan satu standard pemasangan. Ini sebagai kemudahan pada masa akan datang. Ianya bersaiz kecil tetapi perlu dilihat juga cara pemasangan yang betul dan kemas.

Selepas pemasangan selesai nanti, saya akan membuat pengujian untuk keseluruhan sistem. Selesai saja pemasangan, saya akan biarkan dalam tempoh minimum seminggu untuk melihat hasil dari pemasangan tersebut. Sistem berfungsi dengan baik tetapi faktor faktor lain perlu diambil kira. Antaranya adalah melihat ketahanan sistem simpanan atau bateri, keadaan solar panel, keadaan sistem power inverter dan kefungsian solar controller.

Satu lagi alat rekaan inovasi saya masih belum boleh digunakan lagi pada sistem ini. Sistem baru tersebut masih dalam pengujian ketahanan yang dipasang di premis saya.

Apa pun, saya akan membuat ulasan mengenai pemasangan sistem tenaga solar ini berikutan terdapat beberapa kelemahan dan cara pemasangan yang salah. Segala kesalahan dapat diatasi dengan memperbaiki semula cara dan kaedah pemasangan yang betul.

Saya akan huraikan satu persatu mengenai aktiviti pemasangan tersebut serta pemerhatian saya kepada hasilnya nanti.

Sabtu, 18 Februari 2017

Litar converter dan inverter

Bismillah...

Assalamualaikum. Salam ceria.

Adakah anda tahu akan litar inverter dan litar converter. Ok baik, kali ini saya sentuh bab agak advance sikit. Kepada yang baru mula belajar atau baru kenal komponen bab ini anda boleh baca dan ikuti. Jika anda sukar untuk faham itu tidak mengapa.

Ini adalah sambungan dari topik solar panel sebelum ini. Persoalannya bolehkah solar panel yang bersaiz kecil berupaya untuk cas bateri yang mempunyai nilai volt yang tinggi seperti 12 volt? Jawapan saya adalah boleh.

Bagaimana caranya? Dengan penambahan litar converter. Apakah litar converter dan inverter? Ada pelbagai versi jawapan. Saya akan terangkan dan anda boleh nilaikan sendiri.

Litar converter berfungsi menukar nilai voltan masuk kepada satu nilai tertentu pada keluaran. Contoh voltan masuk 5 volt, keluaran pula 10 volt. Contoh lain, voltan masuk 8 volt dan keluaran pula 4 volt. Voltan biasanya adalah DC atau arus terus.

Ada juga litar converter yang berfungsi menukarkan voltan positif kepada voltan negatif. Contoh voltan masuk +5v dan keluaran pula -5v. Ada sesetengah litar elektronik memerlukan kedua dua jenis voltan ini. Biasanya untuk litar audio dan op-amp.

Litar inverter pula lebih kepada penukaran voltan dc kepada ac. Contohnya voltan masuk adalah 12v dc, manakala keluaran pula adalah 240v ac.

Oleh sebabkan fungsi litar litar ini bersesuaian untuk meningkatkan nilai voltan, ianya sesuai digandingkan dengan solar panel yang kecil bagi memberi cas kepada bateri yang besar.

Jumaat, 17 Februari 2017

Sekecil kecil Solar Panel

Bismillah...
Assalamualaikum. Salam ceria.

Bersua lagi pada kali ini saya suka ingin menyentuh mengenai solar panel. Sejak dari kecil lagi saya suka dengan tenaga. Tenaga elektrik, tenaga batin dan sebagainya yang berkaitan dengan tenaga.
Begitu juga dengan tenaga ghaib seperti tenaga aura, tenaga batin, tenaga chakra dan ntah apa apa lagilah. Sampaikan benda benda seperti batu kayu juga menghasilkan tenaga yang disebut sebagai frekuensi. Frekuensi adalah getaran. Getaran yang terhasil menentukan identiti sesuatu benda.

Apa saja benda di dalam dunia ini ada frekuensinya tersendiri. Begitu juga dengan diri kita. Frekuensi boleh menghasilkan tenaga. Tenaga pula boleh disebarkan kepada kita semua sebagai satu yang bermanfaat.
Tenaga dari matahari memancarkan cahaya yang terang. Di dalam cahaya matahari terdapat beberapa frekuensi dan pelbagai bentuk cahaya. Antara yang kita tahu adalah infrared dan ultraviolet. Manfaat tenaga matahari memberi kebaikan kepada solar panel untuk menghasilkan tenaga elektrik. Kenapa pentingnya tenaga elektrik? Kerana kita pengguna tenaga elektrik dan ianya merupakan satu keperluan asas bagi kita semua.

Solar panel memerangkap cahaya matahari. Di dalam solar panel berlakunya proses sains tindak balas dari beberapa material yang digandingkan untuk menghasilkan tenaga baru iaitu tenaga elektrik.

Semakin cerah terik cahaya matahari semakin meningkat naik pengeluaran tenaga elektrik. Peningkatan berlaku sehingga ke satu nilai yang paling maksimum. Setiap solar panel mempunyai beberapa karekter seperti saiz, nilai voltan, nilai watt, rekabentuk luaran dan arus yang terhasil. Jika anda faham nilai watt berhubungkait dengan nilai volt dan arus. Oleh itu, hanya perlu tahu nilai watt dan volt sudah memadai.

Secara asasnya, solar panel menghasilkan tenaga elektrik. Bukan menyimpan tenaga elektrik. Untuk menyimpan tenaga elektrik kita memerlukan bateri yang boleh dicas. Contoh senang adalah bateri kereta.

Jika anda tahu, untuk cas bateri memerlukan tenaga yang sesuai. Contohnya untuk cas bateri 12v perlu ada voltan sehingga 15v. Oleh itu solar panel perlu dan wajib memberikan voltan sebanyak 15v kepada bateri. Jika tidak, bateri tidak dapat dicas dengan sempurna. Nilai watt atau arus pula menentukan berapa lama masanya untuk bateri tersebut dicas penuh.

Persoalan. Bolehkah solar panel bersaiz kecil atau mempunyai nilai voltan max 9v untuk cas bateri 12v? Secara logik tidak boleh. Tetapi secara logik reverse technology ianya boleh.
Bersambung...

Rabu, 15 Februari 2017

Solar Guard untuk free elektrik

Bismillah...
Assalamualaikum. Salam ceria.

Sejak berkecimpung dalam bidang tenaga solar ni macam macam hal yang terjadi. Ada yang baik dan ada yang tidak baiknya. Yang baiknya saya dapat projek berskala besar yang pertama. Sebelum ini banyak projek yang kecil kecil saja.

Untuk permulaan ini berlakunya sessi perjumpaan dan perbincangan sebelum memulakan projek. Dalam perbincangan tersebut banyak membincangkan kerja pemasangan solar power dan keperluan yang perlu diketahui. Kemudiannya diadakan sessi melawat kawasan iaitu pondok pengawal.

Projek yang hendak dilaksanakan ini adalah pemasangan solar panel dan beberapa alatan di dalam pondok pengawal. Dimaklumkan sebelum ini, semua pondok pengawal tiada sumber tenaga elektrik kecuali pondok pengawal utama. 

Oleh itu saya dan team ditugaskan untuk membuat pemasangan sistem tenaga solar.
Bagi permulaan pemasangan ini, saya memilih untuk menggunakan sistem standard sedia ada. Maksudnya saya tidak menggunakan sistem rekaan saya lagi. Disebabkan ianya berskala besar, saya berhasrat untuk menggunakan sistem yang standard dahulu sehingga ianya berfungsi sepenuhnya. Setelah dalam tempoh tertentu, saya akan mula untuk memasukkan sistem lain pula.

Terdapat 4 pondok yang perlu dipasang setakat ini. Pada percubaan pertama ini sekiranya berjaya sepenuhnya, InsyaAllah akan ada lagi projek susulan.

Sabtu, 14 Januari 2017

Cerita awal 2017

Bismillah...

Assalamualaikum. Salam bersua kembali.

Walaupun sudah sampai ke pertengah bulan Januari, masih belum terlambat untuk saya ucapkan selamat tahun baru 2017. Ianya tahun untuk saya menuai hasil. Banyak perubahan yang akan dan sudah pun dibuat untuk tahun 2017 ini. Semua berkenaan dengan kerja-kerja saya, perniagaan saya dan corak kehidupan social saya.

Seperti blog-blog saya yang lain, saya ada menyatakan untuk membuat banyak perubahan kepada produk-produk. Antara usahanya adalah membuat penambah baikan, rombakan harga baru dan munculnya beberapa produk baru yang lebih baik.

Satu perkara lagi, saya sudah ambil keputusan untuk mengurangkan aktiviti RnD dan mungkin juga akan dihentikan untuk seketika atau selamanya. Keputusan ini diambil atas beberapa factor. Antaranya adalah sebab tibanya masa untuk saya menuai hasil daripada hasil aktiviti RnD yang bpernah dibuat. Factor lain lagi adalah saya beralh tumpuan kepada memberi ilmu-ilmu yang saya ada sepanjang proses RnD kepada umum melalui kursus, bengkel dan kelas-kelas teknikal. Faktor lain lagi adalah saya sudah menjumpai kerjaya yang sesuai dengan aura diri saya sendiri. Insyaallah ia membuahkan hasil.

Seperkara lagi, untuk tahun ini juga saya akan cuba aktifkan semua maklumat-maklumat di dalam blog-blog saya dengan pelbagai info dan ilmu. Pada masa yang sama juga akan cuba kumpulkan seberapa ramai rakan-rakan yang berminat untuk mengikuti kursus, seminar dan bengkel yang akan saya buat nanti. Diharapkan ianya terlaksana dan berbaloi-baloi.

Itu saja untuk kali ini. Tunggu update yang seterusnya nanti dengan pelbagai maklumat yang akan disampaikan oleh saya sendiri tanpa copy paste dari mana-mana sumber yang tidak dipercayai.

Terima kasih. Salam ceria. All the best.