Translate

Ahad, 24 Julai 2016

Produk dibuat macam nak gila...

Selamat hari raya maaf zahir batin. Mood raya masih ada lagi. Sekiranya saya ada salah dan silap harap maafkan kesalahan saya.

Kali ini saya ingin bercerita sedikit mengenai produk terbaru saya yang baru saja saya siapkan. Siap sahaja produk ini saya telah lancarkan jualan secara kecil kecilan dahulu. Yang mana saya jual kepada kawan-kawan dan kenalan saya saja. Jualan untuk orang awam masih belum lagi dibuka.

Namun begitu belum sempat dibuka jualan lebih besar lagi, produk baru ini telah diceritakan di dalam surat khabar Berita Harian. Produk ini biasa saja. Tapi dengan fungsi yang pelbagai dan terdapat tambahan fungsi yang istimewa, produk ini menjadi perhatian akhbar.

Produk yang saya maksudkan adalah beg solar power mudah alih. Kalau dah namanya beg sudah tentu ianya mudah alih. Jadi fungsi tambahan yang saya masukkan ke dalam beg solar ini adalah fungsi Tesla. Jika anda tahu, tesla itu adalah nama orang. Tesla dahulunya seorang perekacipta yang telah mencipta banyak idea inovasi. Antaranya adalah menara kuasa. Menara kuasa beliau boleh menghantar tenaga elektrik melalui udara saja. Tak perlu kepada wayar atau kabel besar. Hanya wireless. Kalau anda nak tau Tesla dah lama mati sebab dia hidup pun dah lama zaman sekali dengan Thomas Edison. Thomas Edison tu kenal tak? Pun tak tau juga?

Baiklah. Cerita sikit pasal dua orang ni. Tak wajib tau pun, tapi untuk pengetahuan saja ye. Thomas Edison antara orang yang paling banyak menghasilkan idea rekacipta. Rasanya dia masih pemegang rekod orang yang mencipta inovasi paling banyak. Antara rekaan dia yang popular adalah mentol lampu yang kita guna sampai sekarang ini. Disebabkan dia popular dan berada di kalangan orang putih, jadi dialah orang pertama yang mencipta mentol. Kemudian dia juga berjaya menghasilkan tenaga elektrik untuk kegunaan orang awam. Tesla pula merupakan seorang pembantu Thomas Edison. Maknanya Tesla pernah bekerja di bawah Edison. Tesla seorang yang genius. Sebabkan dia orang putih juga, jadi dia popular. Tesla berjaya menghasilkan elektrik juga sama seperti Edison. Bezanya, Edison menghasilkan voltan DC, manakala Tesla pula menghasilkan voltan AC. Jadi DC dan AC tu ape pula. Silalah google untuk maklumat lanjut.

Pendekkan cerita. Tesla menggunakan hasil penemuan voltan AC dia tu untuk mencipta beberapa idea inovasi. Antaranya adalah menara kuasa. Kemudian saya menggunakan teknologi Tesla ini untuk dimasukkan ke dalam system beg solar saya. Hasilnya sangat baik dan nampak seperti lain dari yang lain. Haa... lepas ni ada la yang nak tiru tu. Takpe lah... nak tiru pun takpe. Cuma jangan la claim idea tu saya yang ciplak dari orang lain pula ye. Sebab produk ini sudah menjadi hakcipta saya.

Satu lagi anda perlu tahu. Produk yang saya hasilkan ini bukanlah produk yang benar-benar baru dan takde lagi orang buat. Silap tu. Sudah ada pun orang buat. Bezanya saya membuat penambah baik dan tambahan fungsi saja. Jadi ia nampak lain dari yang lain.

Sedikit mengenai beg solar ini. Cerita mengenai RnD yang telah saya lakukan berulang-ulang kali dan beberapa kegagalan yang berlaku. Dengan modal cukup-cukup makan saja, saya telah membuat beberapa ujikaji dan ujian terhadap beberapa komponen untuk menghasilkan beg solar power ini. Dengan kekangan modal yang ada, hanya beberapa komponen saja yang dapat saya beli. Manakala komponen-komponen lain memang sudah ada dalam stok lama saya.

Bermulanya idea ini tercetus dari tahun 2013 lagi. Pada ketika itu saya dapat projek dari seorang student IPT untuk menghasilkan power bank yang menggunakan punca kuasa dari matahari atau solar panel. Jadi saya buat projek tersebut sehingga berjaya dan projek berfungsi dengan baik. Pada ketika itu apa yang saya buat memang ikut buku bulat-bulat. Projek diuji dengan baik. Ia berfungsi seperti apa yang diharapkan. Kemudian projek habis begitu saja selepas diserahkan kepada student tadi.

Dari situ timbul idea. Idea untuk buat semula solar power beg tu. Tapi proses pembikinan tidak terus dibuat. Kerjanya sedikit demi sedikit. Hari demi hari, minggu demi minggu dan bulan demi bulan. Malah dari tahun demi tahun. Seperti yang saya bagitau tadi, sebab kekangan modal projek menjadi lambat.

Dalam tempoh perjalanan masa tadi, saya telah beberapa kali membuat pengujian terhadap kaedah solar panel mengecas bateri dan cara kerja power inverter. Jadinya, masa yang ada saya gunakan untuk menguji litar power inverter. Kemudian membuat rujukan terutama di internet seperti google dan youtube. Dengan ada kemudahan internet, saya membuat rujukan yang berkaitan dengan projek saya ini. Namun begitu, kekangan kewangan menjadi penghalang. Saya terpaksa mencari kerja yang sesuai untuk menapung kos sara diri dan keluarga dan pada masa yang sama juga menampung kos projek saya. Ada yang bertanya kenapa tidak minta dana kewangan untuk pembiayaan projek? Ada buat tapi tak dapat dan tak bagi. Cradle, Mosti, TPM dan macam-maca lagi dah minta, tapi semua kena reject. Oh ya baru teringat, sapalah saya ni. Belajar sekolah pondok je. Sapa nak pandang. Rugi je bagi duit pada saya. Baik bagi pada kroni je. Barulah masyuk ye tak?.

Dengan bekerja mungkin saya boleh menampung kos projek sebagai tambahan. Ditambahkan lagi dengan duit hasil penjualan produk yang sedia ada. Tapi apakan daya. Semuanya atas ketentuan Allah. Bekerja selama 6 bulan tapi tiada gaji. Pengiraan matematik saya gagal. Perancangan saya gagal lagi. Mungkin silap saya kerana mengharapkan duit gaji yang saya kerja sehinggakan terpaksa menggunakan keseluruhan duit simpanan saya sehingga zero. Dan bermula di situ pelbagai masalah timbul disebabkan tiada modal lagi.

Rezeki itu milik Allah. Dan Allah berhak untuk memberi kepada siapa saja. Saya cuba bangun semula. Nak bekerja dengan orang dah takut sebab masih dalam troma. Akhirnya saya memulakan semua bisnes saya semula secara full time. Dahulunya secara part time saja. Dalam tempoh masa di waktu saya tiada pekerjaan tetap lagi, projek bermula semula setelah terbiar begitu lama. Pada bulan Ramadhan lalu, saya berjaya habiskan RnD saya dan menyiapkan projek dengan jayanya. Alhamdulillah. Malah dua produk solar power telah pun dihasilkan. Duit modal projek dapat dari duit orang yang memberi pinjam. Itulah yang saya mampu.

Kini saya bersyukur kepada Allah yang memberi rezeki dan peluang untuk saya mencorak semula perjalanan kerja dan tugasan pada masa akan dating. Sedikit demi sedikit saya menapak kembali demi kemudahan orang lain. Apa yang saya buat ini kerana Allah demi kemudahan manusia terutama rakyat Malaysia. Saya perlukan sokongan anda. Maafkan saya jika saya ada buat salah. Saya juga tidak berhasrat untuk menjadi kaya raya. Sekadar hidup selesa, aman damai dan boleh menghasilkan banyak produk untuk kemudahan orang. Jika saya berhutang, saya akan bayar. Bezanya lambat atau cepat saja.