Translate

Rabu, 15 Julai 2015

Jumpa kesilapan yang diselindungkan

Assalamualaikum.

Kali ini saya nak mengulas sedikit tentang kerja saya pasal elektronik. Bukan semua orang boleh layan kan? Apa pun jom kita layan sama sama. Walaupun alkisahnya mengenai elektronik, tetapi penghujungnya menceritakan satu kesimpulan yang boleh dijadikan pengajaran.

Sebelum masuk bulan Ramadhan lagi, hampir dalam beberapa hari saja lagi akan tiba bulan puasa. Saat yang dinanti nantikan oleh sebahagian umat Islam. Namun disebalik keghairahan tersebut satu ujian besar bagi saya. Benda yang selau saya hadapkan hampir setiap hari, tiba tiba menjadi mala petaka bagi saya.

Buat pertama kalinya saya tidak mampu mengesan punca kerosakan atau kesilapan dalam litar elektronik yang memang selalu saya hadap hampir seiap hari. Boleh dikatakan saya hampir mahir dengan alat tersebut, terutama pada selok belok litar elektronik tersebut. Jika sebelum ini berlaku kerosakan, pasti saya dengan cepat dapat tahu punca kerosakan.

Tiba masanya hari yang dinanti nantikan. Secara tiba tiba salah satu litar yang saya buat tidak menjadi. Kerosakan tersebut juga belum pernah saya alaminya. Jadi agak terkial kial juga saya mencari puncanya. Jika dapat punca kerosakannya, sudah pasti dapat juga memperbaikinya.

Hari demi hari, minggu demi minggu. Saya masih belum dapat mencari punca kerosakannya. Agak pelik, dari satu unit ke satu unit baru yang saya buat, masih juga tidak berfungsi. Dan kerosakan juga adalah sama semuanya. Bagaikan ia berjangkit. Sudah 6 unit litar saya buat. Tapi jadinya tetap sama seperti unit pertama yang tidak berfungsi tu. Pening saya.

Pelbagai kaedah yang sudah saya buat. Dengan menggantikan setiap komponen dengan komponen yang baru, ianya masih tetap sama. Setiap point sudah saya ukur dengan meter volt. Ianya tiada masalah. Setting juga tiada masalah. Aturan komponen juga tiada masalah. Namun hasilnya masih tetap sama. Semua unit tidak menjadi.

Kemudian saya dapatkan semula unit yang lama. Unit lama yang berfungsi dengan baik. Saya buat perbadingan satu demi satu komponennya. Tiada masalah. Tiada perubahan. Saya menjadi buntu dan putus asa. Saya sudah putus asa. Tempoh sudah menjangkau sebulan. Hasilnya masih tetap sama. Ianya tidak berfungsi dengan baik walaupun setting adalah betul, ukuran voltan adalah tepat dan semua komponen adalah baru.

Saya sangat buntu.

Akhirnya saya tinggalkan untuk seketika. Walaupun pelanggan sudah mula bising, namun saya mengalah. Buntu dan tidak tahu untuk buat apa.

Tiada daya upaya saya melainkan atas Kekuasaan Allah. Saya berserah segala galanya kepadanya. Hanya doa yang panjanglah menjadi pengubat kekecewaan ini. Namun begitu, ada masanya saya mencuba dan terus mencuba. Namun masih juga gagal. Gagal untuk mencari punca kesilapan tersebut.

Selepas lebih sebulan tempohnya, dipendekkan cerita, akhirnya saya berjaya menjumpai kerosakan tersebut. Tapi, sebenarnya ianya bukan satu kerosakan dan bukan juga satu kesilapan. Semua adalah betul dan tepat. Cuma saya nak bagitau, ilmu Allah itu sangat luas. Tanpa pertolongan Allah, pasti sampai sekarang ini saya masih belum menjumpai masalah tersebut dan seterusnya dapat menyelesaikan masalah itu.

Terlalu kecil puncanya. Sehinggakan seorang pakar pun belum tentu dapat melihatnya. Syukur pada Allah atas pertolonganNya dan memberi ilham kepada saya untuk menampakkan puncanya.

Moralnya, janganlah kita terasa riak atas kerja yang kita buat yang menampakkan kitalah yang lebih tahu dari semua orang. Hanya kita sajalah yang tahu. Silap tu. Jika Allah tarik sikit saja nikmat, dengan yang sedikit itulah juga kita boleh jadi huru hara. So saya sangat beringat akan hal ini.

Alhamdulillah, Allah mendidik saya dengan cara menguji.