Translate

Rabu, 15 Jun 2022

Perjalanan masih jauh

 Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Baru-baru ini dalam bulan ini juga (bulan Jun 2022) saya bersama keluarga pergi bercuti ke Port Dickson. Percutian ini sebenarnya tidak dirancangan dengan serius, hanya sekadar perancangan di mulut saja.

 
Namun semuanya berjalan dengan lancar. Semua telah selamat dan rasa seronok dengan hari percutian tersebut. Saya sekeluarga bersama-sama dengan keluarga mertua dan keluarga adik ipar pergi beramai-ramai menginap di sebuah homestay berdekatan dengan pantai Poli Port Dickson.

Apa yang nak saya sampaikan di sini bukanlah nak bagitau aktiviti percutian tersebut tetapi saya nak bercerita tentang keadaan semasa percutian tersebut. Memang tidak dapat digambarkan keseronokannya, bukan pada diri saya sendiri saja tetapi hampir semua orang termasuk ahli keluarga saya. Tambahan pula saya ada seorang baby kecik yang pada ketika itu baru berumur 5 bulan.

Pada gambaran perasaan saya sememangnya seronok. Kepuasan saya adalah melihat keluarga yang sangat seronok dapat pergi bercuti dengan melakukan macam-macam aktiviti pada masa itu. Itulah kepuasan seorang lelaki yang bergelar seorang suami dan seorang ayah apabila melihat isteri dan anak-anak gembira. 

Namun disebalik keseronokan itu sebenarnya terselindung perasaan lain. Mungkin Tuhan nak tunjukkan perancanganNya itu lebih baik dan memberi kebaikan kepada saya. Saya sebenarnya pengidap Anxiety Disorder tahap rendah. Disebabkan itu juga macam-macam penyakit datang.

Ramai yang tahu dan ramai yang tak tahu, penyakit yang kita alami sebenarnya datang daripada satu punca seperti Anxiety atau Despression. Punca dari situlah penyakit seperti sakit jantung, darah tinggi, organ dalaman tidak berfungsi dengan baik dan banyak lagi akan muncul.

Sebenarnya apa puncanya saya jadi begitu? Saya tidak pasti sebenarnya. Namun saya boleh agak berpunca sebab saya sangat penat dengan kerja dan juga pemakanan yang tidak teratur. Tambahan pula saya sudah lama meninggalkan aktiviti senaman. Pada hal saya dulu memang suka dan kerap bersenam. Apabila aktivit bersenam ditinggalkan lama, besar kemungkinan kesan negatif berlaku pada badan.

Ianya nampak kesannya apabila saya berjalan menuju ke pantai dari homestay. Selepas beberapa minit berjalan degupan jantung saya terlalu laju dan menyebabkan saya berasa mengah atau lelah. Apabila hal ini terjadi, sememangnya saya sangat kecewa, risau dan takut. Tambahan pula saya memang mempunyai kolestrol tinggi sejak zaman muda lagi.

Apabila sampai di pantai, saya mencari satu kawasan untuk saya duduk berehat sambil mengadap ke laut. Selepas beberapa minit keadaan saya kembali normal setelah terasa penat dan lelah berjalan tadi. Waktu di pantai saya guna sebaik mungkin dengan berehat sambil melihat gelagat anak-anak dan keluarga mandi di pantai.

Tiada apa yang dapat saya ucapkan selain rasa kesyukur atas nikmat yang Allah beri. Berada di pantai pun nikmat sebab dapat berehat dan boleh mengurangkan efek Anxiety. Alhamdulillah terasa nimat yang Allah beri. Walaupun hanya duduk berehat di tepi pantai saja dan tak mandi pun.

Apabila jadi hal seperti ini sebenarnya barulah kita dapat bezakan antara nikmat dan penderitaan. Semuanya Allah beri. Bergantung kepada kesabaran diri kita sebenarnya. Allah nak uji dan nak tengok keredhaan diri kita terhadap ujian yang kita terima. Walau apa pun ujian yang datang bergantung pada diri kita dan cara bagaimana kita menanggungnya. Sesungguhnya setiap ujian yang Allah beri berbeza-beza bagi setiap umat manusia.

Sebab tu kita sendiri jangan mudah melatah dengan ujian yang Allah timpa pada orang lain. Ujian itu untuk dirinya sebab mengikut kesesuaian dirinya. Allah Maha Mengetahui dan Maha Adil. Jangan mudah meremeh ujian yang orang lain dapat walaupun kita nampak ujian tersebut kecil saja. Sebab kita tidak tahu tahap kesanggupan ujian yang orang itu sanggup menanggung.

Oleh itu marilah kita sentiasa bersyukur kepada Allah dalam semua hal dan keadaan. Aamiin

Untuk artikel posting akan datang Insyaallah saya akan kongsikan bagaimana saya bertahan dengan hanya mengamalkan beberapa petua orang dulu-dulu dan secara Islam. Namun petua amalan ini sebenarnya bagus diamalkan sejak umur kita muda lagi. Kerana kesannya lebih baik berbanding diamalkan bermula dari pertengahan umur.