Translate

Rabu, 17 April 2019

Gagal Merancang



Assalamualaikum. Salah ceria. Salam bersua kembali.

Sudah hampir ke pertengah tahun 2019. Banyak perancangan telah dibuat. Namun hasilnya masih kesamaran dan ada juga yang tidak kelihatan. Saya hanya tahu merancang. Selebihnya hanya tuhan yang Maha Mengetahui.

Bermula dari 2017 lagi beberapa perancangan rapi telah dibuat. Antaranya adalah teknologi tenaga solar. Kurang popular di Malaysia ini dan rata-rata ramai yang tidak faham cara penggunaan keseluruhan sistem tenaga solar ini. Dengan adanya kemudahan elektrik grid (tnb), keperluan tenaga solar mungkin tidak diperlukan. Belum ada keperluan dan belum ada masalah yang timbul berkenaan dengan keperluan elektrik.

Tambahan pula kos pemasangan sistem tenaga solar mungkin juga mahal. Walaupun kos pemasangan adalah sekali sahaja ramai yang memilih untuk membayar bil elektrik setiap bulan. Ini kerana bil elektrik masih lagi murah dan mampu untuk dibayar setiap bulan. Keperluan untuk menggunakan elektrik solar tidak diperlukan.

Tapi target saya sebenarnya bukanlah menyaingi elektrik grid. Sistem elektrik solar yang saya hasilkan banyak menumpukan kepada pengguna di sektor ladang, kebun dan pedalaman. Selain itu saya menghasilkan produk solar generator mudah alih untuk kegunaan mudah alih. Saya lebih tertumpu kepada pengguna seperti itu. Tidak melibatkan penggunaan elektrik grid seperti di rumah, pejabat atau kilang.

Ramai yang menganggap penggunaan elektrik solar adalah semudah yang mereka fikirkan. Contohnya sekeping solar panel 20 Watt boleh menghidupkan aircond sepanjang hari. Mereka akan berfikir begitu seolah-oleh ianya seperti mudah. Begitu juga mereka beranggapan solar panel yang bersaiz kecil boleh menghidupkan lampu  sebanyak lima biji selama 12 jam di waktu malam. Semua andaian tersebut menggambarkan ramai yang tidak faham sistem elektrik solar walaupun pada pengetahuan asas.

Disebabkan kekeliruan ini beberapa projek solar saya tidak dapat diteruskan atas sebab kekurangan modal dan kos harga yang mereka tidak boleh terima. Setelah diberi penjelasan maklumat yang sebenarnya barulah tahu akan kebenaran sistem elektrik solar yang sebenarnya terutama pada penggunaan dan kos pemasangan.

Disebabkan itulah saya sedaya upaya untuk menghasilkan produk elektrik solar yang murah dan mampu dipasang oleh semua orang. Walaupun bahan mentah terpaksa dibeli dari luar dan harga kos bahan mentah mungkin sukar untuk saya kawal. Apa yang boleh saya lakukan adalah menghasilkan sistem controller sendiri. Di mana sistem tersebut dapat menggunakan solar panel yang kecil sesuai untuk penggunaan besar. Manakala sistem lain seperti bateri simpanan cas elektrik juga perlu dibuat ubah suai dan penambah baikan. Seperti sedia maklum, bahan mentah seperti bateri adalah komponen yang paling mahal berbanding bahan lain seperti solar panel.

Namun rancangan saya untuk menghasilkan sistem solar saya sendiri mungkin ditangguhkan kerana tiada dana. Dana dan modal tersebut untuk menghasilkan sistem yang benar-benar boleh diguna secara efektif tetapi kos yang rendah berbanding sistem sedia ada dari luar.

Perancangan telah menemui kegagalan. Pemberi dana juga tidak berminat dengan projek ini dan mungkin menganggap tidak memberi pulangan yang besar. Namun begitu, saya tetap akan teruskan projek ini sementara berusaha mengumpul dana yang cukup untuk melaksanakan projek ini satu hari nanti. 

Saya pernah menerima satu pertanyaan mengenai produk solar charger yang harga RM250 sahaja. Fungsinya adalah untuk cas peranti USB dan menghidupkan alatan kecil yang guna port USB sahaja. Individu tersebut dari Sarawak dan menyatakan berminat untuk membeli produk solar saya ini. Kemudian dia menyatakan untuk letak solar tersebut di rumah untuk menghidupkan lampu, kipas dan tv dan boleh guna selama 12 jam. Dia beritahu saya anak-anak dia mahu sangat menonton tv kerana di rumah tiada bekalan elektrik. Dia hidup sederhana tetapi tiada keperluan elektrik di rumahnya. Dipendekkan cerita saya tidak menjual solar charger saya itu kepadanya. Anda boleh simpulkan sendiri.